Tuesday, December 11, 2007

Bimbingan
PEMERENGGANAN


Konsep Pemerengganan
Pemerenggan bermaksud usaha untuk menghasilkan komposisi sebuah karangan yang mantap melalui binaan perenggan-perenggan yang sempurna. Perenggan yang sempurna terhasil apabila struktur atau bahagian-bahagian yang lengkap dalam perenggan berjaya diwujudkan. Bahagian-bahagian itu berlainan antara perenggan pendahuluan, isi, penutup dan dialog.

Maksud Perenggan
Perenggan ialah binaan bahasa yang terhasil daripada sekumpulan perkataan yang membina pelbagai jenis ayat untuk menyampaikan satu idea utama secara tuntas.

Jenis Perenggan
Perenggan Pengenalan.
Perenggan Isi
Perenggan Penutup
Perenggan Dialog.

Struktur Karangan Sempurna


Perenggan Pengenalan
Perenggan Isi 1
Perenggan Isi 2
Perenggan Isi 3
Perenggan Isi 4
Perenggan Isi 5
Perenggan Penutup


Fungsi Perenggan Pengenalan

Perenggan pengenalan berfungsi untuk:
1. mengenalkan tajuk kepada pembaca;
2. menjelaskan tajuk dari segi makna atau tujuan;
3. memberikan gambaran tentang konteks penulisan;
4. menegaskan pendirian atau pendapat penulis tentang isu yang terkandung dalam tajuk;
5. mampu merangsang minat, rasa ingin tahu dan emosi pembaca.

Binaan Perenggan Pengenalan

Perenggan pengenalan yang baik hendaklah dibina menggunakan ayat:
1. Ayat Penyataan
2. Ayat Huraian
3. Ayat Rangsangan
4. Ayat Pandu/Arah

Contoh Perenggan Pengenalan

Tajuk: Potensi Perkembangan Industri Pelancongan di Brunei Darussalam. Bahaskan.

(a) Sesebuah negara perlu mengembangkan pelbagai jenis industri. (b) Hal ini perlu supaya negara itu memiliki sumber ekonomi yang lebih luas dan mantap. (c) Ibarat sebuah keluarga, ahli-ahlinya semua bekerja dan menjawat tugas yang berlainan di sektor yang berlainan pula. (d) Sudah tentu keluarga itu memperoleh pelbagai sumber kewangan, pengalaman dan ilmu pengetahuan. (e) Berdasarkan itu, tidak ada salahnya Brunei Darussalam mengorak langkah secara aktif untuk meneroka dan memajukan industri pelancongan. (f) Lebih-lebih lagi, negara kita sebenarnya mempunyai potensi yang sangat besar. (g) Potensi itu dapat dikategorikan kepada lima aspek.

1. Ayat Penyataan (a), penegasan (b) alasan
2. Ayat Huraian (c), huraian jenis perbandingan / ibarat (d) faedah
3. Ayat Rangsangan (e), memujuk perasaan (f) rasa ingin tahu
4. Ayat Pandu/Arah (g) lima aspek akan / ingin dibahaskan


Struktur Perenggan Pengenalan


Ayat Penyataan
Ayat Huraian
Ayat Rangsangan
Ayat Pandu


Fungsi Perenggan Isi

Perenggan isi digunakan untuk menyampaikan idea. Penyampaian itu hendaklah jelas supaya cepat diterima atau difahami oleh pembaca. Keberkesanan perenggan isi hanya berlaku jika ayat-ayat yang digunakan saling menyokong dan berpusat pada idea utama yang tertulis dalam bentuk ayat judul.

Binaan Perenggan Isi

Sebuah perenggan isi hanya mengandungi satu idea utama. Idea utama ini perlu dituliskan dalam bentuk ayat judul dan hanya dapat disampaikan secara tuntas apabila dibantu dengan ayat-ayat kembangan. Ayat-ayat kembangan menyempurnakan maksud isi utama dengan memberikan penghuraian lanjut, membuat perbandingan, membuat rujukan tertentu, memasukkan petikan, memberikan contoh dan sebagainya. Di bahagian akhir perenggan, ayat rumusan digunakan bagi mengulung hujah atau membuat penekanan.

Contoh Perenggan Isi

Tajuk: Potensi Perkembangan Industri Pelancongan di Brunei Darussalam. Bahaskan.

a) Salah satu potensi Brunei yang jelas ketara ialah sumber kewangan. b) Sebaik manapun perancangan yang dilakukan, tanpa sumber kewangan yang mencukupi usaha menjadikan negara ini sebagai pusat pelancongan tidak akan berjaya. c) Terdapat negara yang pendapatan negara kasarnya lebih rendah daripada Brunei telah berjaya memajukan industri ini, antaranya Thailand dan Malaysia. d) Hal ini membuatkan kita lebih yakin, lebih-lebih lagi pernah terbukti bahawa dengan kewangan yang mencukupi, kita telah berjaya mengelolakan Sukan S.E.A. pada tahun 1999. e) Jadi, tidak syak lagi, bahawa, dari segi sumber kewangan, Brunei Darusalam sudah bersedia.

1. Ayat Topik a)
2. Ayat Huraian b)
3. Ayat Contoh c)
4. Ayat Sokongan d)
5. Ayat Rumusan e)


Struktur Perenggan Isi

Ayat Topik (Isi Penting)
Ayat Huraian
Ayat Contoh
Ayat Sokongan
Ayat Rumusan


Fungsi Perenggan Penutup

Secara umunya, perenggan penutup berfungsi untuk mengakhiri penyampaian idea. Hal ini bermaksud, penulis telah selesai menyampaikan ideanya kepada pembaca. Sebelum berpisah dengan pembaca, penulis menggunakan perenggan penutup sebagai senjata atau strategi terakhir untuk meninggalkan kesan tertentu supaya mampu mempengaruhi fikiran, emosi dan pendirian pembaca.

Binaan Perenggan Penutup

Untuk meninggalkan kesan tertentu kepada pembaca, perenggan penutup dibina menggunakan strategi yang mengandungi beberapa ayat yang berfungsi sebagai:

Ringkasan, Rumusan, Keputusan, Penegasan, Imbasan, Bandingan, Amaran, Harapan, Ramalan, Kesan dan Cadangan.

Perenggan penutupan boleh dibina menggunakan satu atau beberapa fungsi di atas sekali gus jika sesuai.


Contoh Perenggan Penutup

Tajuk: Potensi Perkembangan Industri Pelancongan di Brunei Darussalam. Bahaskan.

a) Di atas, saya telah memaparkan lima potensi yang dimiliki oleh Brunei Darussalam, iaitu letak geografi, alam semula jadi, warisan budaya, tahap literasi dan sumber kewangan. b) Berdasarkan bukti kukuh tersebut, saya yakin industri pelancongan akan berkembang pesat jika diusahakan dengan serius. c) Dengan berkembangnya industri ini di Brunei Darussalam, sudah tentu peluang pekerjaan akan terbuka luas terutamanya bagi rakyat tempatan yang kini jumlah pengangguran semakin meningkat. d) Tanpa usaha mempelbagaikan sumber ekonomi bererti kita mengabaikan keupayaan sendiri. e) Saya percaya, rakyat Brunei Darussalam ingin melihat beberapa hotel bertaraf lima bintang tersergam indah di puncak Gunung Pagon.

a) Ringkasan b) Penegasan c) Kesan d) Amaran e) Harapan

Struktur Perenggan Penutup


Ringkasan
Penegasan
Kesan
Amaran
Harapan