Tuesday, December 11, 2007

Bimbingan
PEMERENGGANAN


Konsep Pemerengganan
Pemerenggan bermaksud usaha untuk menghasilkan komposisi sebuah karangan yang mantap melalui binaan perenggan-perenggan yang sempurna. Perenggan yang sempurna terhasil apabila struktur atau bahagian-bahagian yang lengkap dalam perenggan berjaya diwujudkan. Bahagian-bahagian itu berlainan antara perenggan pendahuluan, isi, penutup dan dialog.

Maksud Perenggan
Perenggan ialah binaan bahasa yang terhasil daripada sekumpulan perkataan yang membina pelbagai jenis ayat untuk menyampaikan satu idea utama secara tuntas.

Jenis Perenggan
Perenggan Pengenalan.
Perenggan Isi
Perenggan Penutup
Perenggan Dialog.

Struktur Karangan Sempurna


Perenggan Pengenalan
Perenggan Isi 1
Perenggan Isi 2
Perenggan Isi 3
Perenggan Isi 4
Perenggan Isi 5
Perenggan Penutup


Fungsi Perenggan Pengenalan

Perenggan pengenalan berfungsi untuk:
1. mengenalkan tajuk kepada pembaca;
2. menjelaskan tajuk dari segi makna atau tujuan;
3. memberikan gambaran tentang konteks penulisan;
4. menegaskan pendirian atau pendapat penulis tentang isu yang terkandung dalam tajuk;
5. mampu merangsang minat, rasa ingin tahu dan emosi pembaca.

Binaan Perenggan Pengenalan

Perenggan pengenalan yang baik hendaklah dibina menggunakan ayat:
1. Ayat Penyataan
2. Ayat Huraian
3. Ayat Rangsangan
4. Ayat Pandu/Arah

Contoh Perenggan Pengenalan

Tajuk: Potensi Perkembangan Industri Pelancongan di Brunei Darussalam. Bahaskan.

(a) Sesebuah negara perlu mengembangkan pelbagai jenis industri. (b) Hal ini perlu supaya negara itu memiliki sumber ekonomi yang lebih luas dan mantap. (c) Ibarat sebuah keluarga, ahli-ahlinya semua bekerja dan menjawat tugas yang berlainan di sektor yang berlainan pula. (d) Sudah tentu keluarga itu memperoleh pelbagai sumber kewangan, pengalaman dan ilmu pengetahuan. (e) Berdasarkan itu, tidak ada salahnya Brunei Darussalam mengorak langkah secara aktif untuk meneroka dan memajukan industri pelancongan. (f) Lebih-lebih lagi, negara kita sebenarnya mempunyai potensi yang sangat besar. (g) Potensi itu dapat dikategorikan kepada lima aspek.

1. Ayat Penyataan (a), penegasan (b) alasan
2. Ayat Huraian (c), huraian jenis perbandingan / ibarat (d) faedah
3. Ayat Rangsangan (e), memujuk perasaan (f) rasa ingin tahu
4. Ayat Pandu/Arah (g) lima aspek akan / ingin dibahaskan


Struktur Perenggan Pengenalan


Ayat Penyataan
Ayat Huraian
Ayat Rangsangan
Ayat Pandu


Fungsi Perenggan Isi

Perenggan isi digunakan untuk menyampaikan idea. Penyampaian itu hendaklah jelas supaya cepat diterima atau difahami oleh pembaca. Keberkesanan perenggan isi hanya berlaku jika ayat-ayat yang digunakan saling menyokong dan berpusat pada idea utama yang tertulis dalam bentuk ayat judul.

Binaan Perenggan Isi

Sebuah perenggan isi hanya mengandungi satu idea utama. Idea utama ini perlu dituliskan dalam bentuk ayat judul dan hanya dapat disampaikan secara tuntas apabila dibantu dengan ayat-ayat kembangan. Ayat-ayat kembangan menyempurnakan maksud isi utama dengan memberikan penghuraian lanjut, membuat perbandingan, membuat rujukan tertentu, memasukkan petikan, memberikan contoh dan sebagainya. Di bahagian akhir perenggan, ayat rumusan digunakan bagi mengulung hujah atau membuat penekanan.

Contoh Perenggan Isi

Tajuk: Potensi Perkembangan Industri Pelancongan di Brunei Darussalam. Bahaskan.

a) Salah satu potensi Brunei yang jelas ketara ialah sumber kewangan. b) Sebaik manapun perancangan yang dilakukan, tanpa sumber kewangan yang mencukupi usaha menjadikan negara ini sebagai pusat pelancongan tidak akan berjaya. c) Terdapat negara yang pendapatan negara kasarnya lebih rendah daripada Brunei telah berjaya memajukan industri ini, antaranya Thailand dan Malaysia. d) Hal ini membuatkan kita lebih yakin, lebih-lebih lagi pernah terbukti bahawa dengan kewangan yang mencukupi, kita telah berjaya mengelolakan Sukan S.E.A. pada tahun 1999. e) Jadi, tidak syak lagi, bahawa, dari segi sumber kewangan, Brunei Darusalam sudah bersedia.

1. Ayat Topik a)
2. Ayat Huraian b)
3. Ayat Contoh c)
4. Ayat Sokongan d)
5. Ayat Rumusan e)


Struktur Perenggan Isi

Ayat Topik (Isi Penting)
Ayat Huraian
Ayat Contoh
Ayat Sokongan
Ayat Rumusan


Fungsi Perenggan Penutup

Secara umunya, perenggan penutup berfungsi untuk mengakhiri penyampaian idea. Hal ini bermaksud, penulis telah selesai menyampaikan ideanya kepada pembaca. Sebelum berpisah dengan pembaca, penulis menggunakan perenggan penutup sebagai senjata atau strategi terakhir untuk meninggalkan kesan tertentu supaya mampu mempengaruhi fikiran, emosi dan pendirian pembaca.

Binaan Perenggan Penutup

Untuk meninggalkan kesan tertentu kepada pembaca, perenggan penutup dibina menggunakan strategi yang mengandungi beberapa ayat yang berfungsi sebagai:

Ringkasan, Rumusan, Keputusan, Penegasan, Imbasan, Bandingan, Amaran, Harapan, Ramalan, Kesan dan Cadangan.

Perenggan penutupan boleh dibina menggunakan satu atau beberapa fungsi di atas sekali gus jika sesuai.


Contoh Perenggan Penutup

Tajuk: Potensi Perkembangan Industri Pelancongan di Brunei Darussalam. Bahaskan.

a) Di atas, saya telah memaparkan lima potensi yang dimiliki oleh Brunei Darussalam, iaitu letak geografi, alam semula jadi, warisan budaya, tahap literasi dan sumber kewangan. b) Berdasarkan bukti kukuh tersebut, saya yakin industri pelancongan akan berkembang pesat jika diusahakan dengan serius. c) Dengan berkembangnya industri ini di Brunei Darussalam, sudah tentu peluang pekerjaan akan terbuka luas terutamanya bagi rakyat tempatan yang kini jumlah pengangguran semakin meningkat. d) Tanpa usaha mempelbagaikan sumber ekonomi bererti kita mengabaikan keupayaan sendiri. e) Saya percaya, rakyat Brunei Darussalam ingin melihat beberapa hotel bertaraf lima bintang tersergam indah di puncak Gunung Pagon.

a) Ringkasan b) Penegasan c) Kesan d) Amaran e) Harapan

Struktur Perenggan Penutup


Ringkasan
Penegasan
Kesan
Amaran
Harapan

Monday, December 10, 2007

BAHTERA:
Bahan Sastera dalam Pengajaran Bahasa

TELAH TERBIT!!! - buku ini boleh didapatkan di DBP, Brunei.


Buku ini dihasilkan sebagai panduan dan bahan bacaan mahasiswa di Universiti Brunei Darussalam yang mengikuti kursus-kursus yang berkaitan kesusasteraan; guru-guru Bahasa Melayu yang berminat menggunakan bahan sastera sebagai bahan ajar Bahasa Melayu; dan para pencinta sastera.Semoga buku ini mampu memberikan manfaat kepada audiensnya. Penulis mengakui bahawa sentiasa ada kelemahan yang perlu diperbaiki. Setiap komen dan kritikan yang membina sangat dialu-alukan. Sesungguhnya segala yang baik itu datangnya daripada kebesaran Allah swt manakala segala kelemahan dalam buku ini merupakan kekurangan penulis.

- PENULIS, Rozaiman Makmun

Seperti yang dibincangkan di bahagian konsep buku ini, kesempatan para pelajar untuk menikmati karya sastera sebagai bahan pelajaran sangat terhad apabila subjek Kesusasteraan Melayu hanya menjadi subjek pilihan. Hal ini pernah dibincangkan berulang kali dan kali terakhir dibincangkan dalam forum Pertemuan Sasterawan Brunei ke-4 pada 14 Nov 2007 di Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei. Jabatan Pendidikan Bahasa, Universiti Brunei Darussalam sangat prihatin tentang perkembangan sastera sehingga terwujudnya tawaran kursus PL3233 Penyerapan Bahan Sastera dalam Pengajaran Bahasa dengan harapan bahan sastera digunakan sebagai bahan ajar dalam subjek Bahasa Melayu. Dengan cara ini, pelajar-pelajar berkesempatan menikmati karya sastera dan membincangkan nilai-nilai murni yang terkandung di dalamnya.

- PENGARAH DBP, Dr Mataim bin Bakar

Sunday, December 9, 2007

ABM
sebagai guru bahasa yang profesional, pengajaran dan pembelajaran bahasa perlu diusahakan agar berlangsung dalam suasana yang seronok, aktif, mudah dan berkesan.
Walaupun ABM yang berupa aplikasi teknologi elektronik kini semakin digalakkan, namun, ABM yang lebih mudah disediakan seperti kad manila ada kalanya masih tetap diandalkan dan berkesan.

Monday, December 3, 2007

PENGAJARAN TERANCANG KATA PINJAM BAHASA INGGERIS: MEMPERKAYA KOSA KATA PELAJAR BAHASA MELAYU

Kertas kerja ini telah dibentangkan dalam Seminar Tahunan Jabatan Bahasa Melayu dan Linguistik II (SETALING II) pada 24 Januari 2007, anjuran Jabatan Bahasa Melayu dan Linguistk, Fakulti Sastera dan Sains Kemasyarakatan, Universiti Brunei Darussalam.


ABSTRAK

Rozaiman Bin Makmun
IPSHB, UBD



Tuntutan untuk menguasai multibahasa terasa kian relevan pada masa ini, lebih-lebih lagi bagi individu, kelompok, masyarakat dan negara yang menjalin hubungan dengan dunia luar dan keperluan menyalur ilmu pengetahuan. Di peringkat sekolah, guru dan pelajar tidak ketinggalan untuk terlibat sama menguasai pelbagai jenis bahasa. Kepelbagaian bahasa digunakan baik dalam bentuknya asal, bahkan digunakan dalam bentuk kata pinjam. Fenomena ini sudah dianggap suatu kebiasaan, bahkan ada yang menganggapnya sebagai suatu kemestian. Yang lebih penting lagi, adanya anggapan bahawa penguasaan multibahasa baik dalam bentuk asal atau kata pinjam merupakan suatu nilai tambah bagi guru dan pelajar. Penggunaannya baik dalam lisan, apatah lagi dalam penulisan mampu mencerminkan kualiti guru dan pelajar. Kelaziman penggunaan kata pinjam dewasa ini jelas tercermin dari penggunaannya yang berleluasa di dalam buku teks bahasa Melayu sendiri, akhbar-akhbar, majalah, cerpen, novel sehinggalah ke peringkat penulisan akademik, antaranya buku sosiologi, linguistik, kritikan kesusasteraan, psikologi pendidikan, sosiologi pendidikan, kaedah pengajaran bahasa dan sastera dan banyak lagi. Dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ada dinyatakan sejumlah 60,000 patah perkataan atau istilah pinjaman yang telah disusun oleh DBP dalam kepustakaan Bahasa Melayu. Namun begitu, terdapat pula fenomena penggunaan kata pinjam yang tidak menurut aturan. Baik dalam bentuk lisan, apatah lagi dalam bentuk penulisan, kesalahan penyebutan dan ejaan kata pinjam berlaku semakin berleluasa. Melalui tinjauan sepintas, hal ini juga berlaku dalam kalangan pelajar di peringkat sekolah menengah dan mahasiswa di universiti. Jika hal ini semakin berlanjutan, ia akan menjadi suatu petanda kemajuan bahasa yang tidak terkawal atau tidak terancang. Sedangkan, peringkat pemasyarakatan bahasa merupakan antara usaha dalam perancangan bahasa. Di peringkat sekolah, guru-guru akan dipersalahkan kerana tidak membimbing pelajar menggunakan kata pinjam dengan betul. Di peringkat universiti, pensyarah bahasa Melayu akan semakin tertekan kerana mahasiswa tetap melakukan kesalahan kata pinjam walaupun sudah berkali-kali menegur baik di bilik kuliah mahupun ketika menyemak tugasan. Pada hemat penulis, hal ini hanya akan dapat dibendung dengan adanya pengajaran terancang penggunaan kata pinjam bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah, menengah dan institusi tinggi. Prinsip-prinsip atau aturan sebutan dan ejaan kata pinjam hendaklah diajarkan secara berperingkat-peringkat bermula dari menengah rendah atas dan seterusnya membawa ke peringkat institusi pendidikan tinggi. Namun, hal ini memerlukan kajian yang lebih mendalam oleh beberapa pihak yang berkenaan, antaranya Jabatan Perkembangan Kurikulum, Jabatan Sekolah-Sekolah, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Universiti Brunei Darussalam.

Telah dibentangkan dalam SETALING II pada 24 Januari 2007 anjuran FASS, UBD. Artikel penuh boleh dirujuk dalam Prosiding SETALING II: Multibahasa Pencerna dan Pewahanaan Ilmu Pengetahuan.